Thursday, March 26, 2009

Tuesday, March 24, 2009




warkah sek kito

Latihan dikir barat ikbn pagoh diadakan pada setiap malam isnin. kelab ini terdiri daripada 30 hingga 40 orang ahli yang terdiri dari pelajar- pelajar ikbn pagoh. Kelab ini telah dipantau oleh pengajar- pengajar ikbn pagoh yang terdiri daripada En Shahriza bin Solahuddin dan Encik Irwan Zakwan bin Ibrahim. Dengan tertubuhnya kelab ini, dapat mengeratkan silaturrahim sesama pelajar disamping dapat mengisi masa lapang pelajar. Dengan itu juga, seni budaya dikir barat dapat diteruskan.
Kelab ini juga telah bergabung dengan pihak luar yang terdiri dari golongan yang mempunyai minat dalam seni dikir barat. Kelab ini juga telah diberi tunjuk ajar oleh pengajar luar iaitu En sufian (sufian hanuman ikan) yang mempunyai pengalaman yang luas dalam seni dikit barat. Dengan bergabungnya kelab ini dengan pihak luar, maka kelab ini mampu mempersempahkan persembahan yang baik kepada penonton. akhir sekali, diharap kelab ini akan lebih dikenali dan mampu menaikkan nama instutut kemahiran belia negara pagoh.

Monday, March 2, 2009

1. PENGENALAN 
Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud dikalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. 

Dikir Barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman. 

Perkataan Dikir ialah hasil dari 2 kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair.Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut. 

2. ASAL USUL 
(a) Dikir Barat Berasal Dari Selatan Siam 
Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan. Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat ini bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada suatu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua-dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan. 

(b) Dikir Barat Berasal Dari Pulau Tebu 
Ada orang mengatakan bahawa Dikir Barat ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, orang-orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar. 

(c) Dikir Barat Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang 
Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun. 

Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi Dikir Barat. 

3. PERSEDIAAN SEBELUM BERMAIN. 
Bermacam-macam persediaan dilakukan sebelum pertunjukkan dikir barat dipersembahkan. 

(a) Menempah tukang karut dan juara. jikalau satu-satu pertunjukkan dikir barat itu dianjurkan oleh 
satu-satu badan,terpulanglah kepada penganjur itu menempah tukang karut dan juara yang sesuai 
untuk persembahan dikir barat itu. Awak-awak tidak payah ditempah kerana tiap-tiap juara sudah 
mempunyai awak-awaknya sendiri. Selalunya penganjur inginkan tukang karut dan juara yang 
popular. Penganjur akan menempah tukang karut dan juara sama ada di rumahnya sendiri, 
melalui orang tengah,di tempat mereka sedang menunjukkan permainan ataupun 
dimana-mana mereka berjumpa. 

(b) Mendapat Kebenaran Bermain 
Satu lagi tugas penganjur ialah mendapat kebenaran dari pihak berkuasa seperti Penghulu, 
penggawa, pegawai Polis dan Ketua jajahan Daerah. 

(c) Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampung dalam bahasa atau loghat 
daerah. Walau bagaimanapun pengumunan melalui pembesar suara sangat popular. Pihak penganjur 
akan pergi ke kampung-kampung yang berdekatan pada petang itu dan memberitahu yang 
permainan tersebut akan diadakan di kampung yang tertentu. Di antara pengumumannya berbunyi 
begini: 
"jange lupa adik kakok ini male Dikir Barat di pade Stadium Sultan Muhammad Ke IV, 
Kota Baru. Tok Jora dea Tukang karut tersohor seluruh Kelate, Jen Endoro, Megat Nordin, 
dan ghama lagi. Dikir Barat Rekod Dunia... jange lupa, datelah beghama-ghama" 

(d) Tempat bermain 
Permainan Dikir Barat di atas Pentas. Bentuk pentas mengikut corak permainannya itu. 

(i) Bangsal Atau pentas Untuk pertunjukan Percuma 
Jika permainan ini dipertunjukkan di hari-hari perayaan atau majlis-majlis perkhawinan maka 
bangsal atau pentasnya diperbuat tinggi kira-kira 4 kaki. Pertunjukan ini percuma dana semua 
penonton dapat melihat dari jauh. Bangsal ini biasanya dibuat daripada buluh berlantaikan papan 
dan beratapkan daun kelapa. 

(ii) Bangsal Atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran 
Kadangkala ada juga penganjur yang menganjurkan permainan ini dengan tujuan mengutip 
wang. penonton dikenakan bayaran masuk. Pentas dibuat sempurna supaya semuanya dapat 
menonton. 

4. PERSEDIAAN ALAT-ALAT MUZIK 
(a) Rebana Ibu dan Anak 
Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan dibuat daripada kayu yang tidak dalam (5' - 6' dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu antara cincin dana bahagian bawah badannya. Rebana Anak lebih kecil saiznya daripada Rebana Ibu. 

(b) Tetawak 
Tetawak dibuat daripada perunggu berbentuk bulat. Dindingnya tebal. berbusut di tengah-tengah permukaannya. Picnya lebih tinggi dari gong agung. Biasanya tetawak ini digantung dan dipalu busutnya. 

5. PAKAIAN 
Di dalam permainan Dikir Barat di kelantan yang berasal dari Selatan Siam ini, tidak ada pakaian tertentu atau yang menarik dipakai oleh juara, Tukang karut dan awak-awak. Ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini adalah permainan rakyat biasa di kawasan-kawasan sawah padi dan kampung-kampung, tetapi kini lengkap berpakaian kemas dengan destanya sekali. 

6. KUMPULAN AHLI-AHLI 
Di dalam satu-satu pasukan Dikir Barat terdiri daripada seorang Tukang karut , seorang juara dan beberapa orang awak-awak (Selalunya antara 15 ke 30 orang). 
(i) Tukang Karut 
Tukang Karut merupakan orang yang paling penting dalam satu-satunya pasukan dikir barat. Tugas Tukang Karut yang paling penting sekali ialah berpantun dan bersyair. Pantun-pantun dan syair itu didendangkan dengan cara spontan mengikut seleranya. Maka idea-idea, isi-isi puisi itu, bahasa dan persoalan yang dikemukakan tanpa berfikir dua kali. 

(ii) Juara 
Juara merupakan orang kedua penting dalam satu pasukan Dikir Barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum Tukang karut mengarut. Hanya kadangkala, juara juga terpaksa mengarut iaitu di waktu Tukang Karut belum tiba (biasanya di awal permainan) , tapi masanya tidaklah lama, Juara berdikir sambil duduk di sepanjang permainan, tetapi Tukang Karut mendendangkan karutnya sambil berdiri. 

(iii) Awak-awak 
Awak-awak ialah kumpulan orang berdikir dalam satu-satu permainan Dikir Barat. Kebiasaannya awak-awak ini terdiri daripada muda mudi belasan tahun. Pada praktiknya orang-orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awak-awak. 

Gelaran awak-awak ini mengambil sempena dari nama kumpulan nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua yang dipanggil "Keragan" jadi keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awak-awak dalam permainan Dikir Barat yang di bawah jagaan ketua mereka, Juara. 

(iv) Lagu Karut Dikir Barat. 
Di antara lagu-lagu Dikir Barat yang terkenal ialah: 

1. Karut Kelantan cepat. 
2. Karut Kelantan Anjur (Perlahan) 
3. Karut Petani, 
4. Karut Wok Yoh 
5. Karut pendek 
6. Karut Yangki Cepat 
7. Karut Yangki Anjur 
8. Karut Yangki Tengah ( Sederhana) 
9. Karut Yangki Ding Ding 
10. Karut Alo 
11. Karut Selampit 
12. Karut Menora 
13. Karut Jenaka Mak Yong 
14 Karut Wau Bulan 

Ada tiga jenis irama Dikir: 

1. Irama Asli 
2. Irama Padang Pasir. 
3. Irama Hindustan. 

7. CARA PERSEMBAHAN 
Di dalam permainan ataupun persembahan Dikir Barat selalunya ada dua pasukan yang mengambil bahagian di suatu masa. mereka akan berbalas-balas pantun , sindir menyindir tak ubah seperti orang berkelakar. Walau bagaimanapun ini ialah sebagai hiburan sahaja. Persembahannya adalah di dalam loghat Kelantan. Akhir sekali untuk penghabisan, Tukang Karut sebelah pihak akan mengalunkan lagu sedih. Di antaranya lagu Wau Bulan, Kulat Malam, Ikan Duyung, layang-layang dan lain-lain lagi. Disamping itu Tukang karut ini meminta maaf dan mengenangkan nasib untung Tukang Karut. Antara rangkap lagu Wau Bulan ialah: 

Lagu Wau Bulan 
Eee wa ee wa bulan 
wau bulan teraju tiga ...(Korus) 
Minta maaf adik kakok sekalian, 
kalau ado silap jangan simpan dalam dado 

Tinggal kasih menolak sayang 
kalau panjang umur semula pulok kita jumpo 

Ohhh sama-sama paling belake 
selamat tinggal nok baliklah ambo. 

8. PEMBAHARUAN DALAM DIKIR BARAT 
Semenjak pihak RTM (Radio dan Televisyen malaysia) menyiarkan Dikir Barat ini sebagai salah satu rancangannya dan juga semenjak diadakan pertandingan Dendang Rakyat. Dikir Barat ini mengalami beberapa proses perubahan dari beberapa segi. Perubahan dan pembaharuan terdapat di dalam bentuk pakaian, tempat, cara persembahan dan juga lagu-lagu yang didikirkan. 
Pada asalnya tidak ada pakaian seragam di dalam permainan dikir barat, tapi sejak kebelakangan ini dan sejak diadakan pertandingan Dikir Barat dalam pertandingan Dendang Rakyat kebanyakan pasukan Dikir Barat ada mempunyai pakaian seragam bagi kumpulan masing-masing. 

Lagu-lagu yang didikirkan kebanyakannya bertemakan pembangunan, dasar ekonomi baru kerajaan, pembelajaran, perpaduan, kebudayaan dan lain-lain. Tidak terdapat lagu-lagu berunsur lucah didikirkan seperti beberapa tahun yang lepas. 

9. PENUTUP 
Demikianlah persembahan Dikir Barat yang asalnya adalah dalam bentuk Dikir yang diubah suai dengan pantun-pantun yang ada dalam masyarakat melayu. Kemudiannya diselit dengan lagu-lagu lucu, sedih dan sebagainya. 

Dikir Barat ini berkembang begitu pesat dengan tertubuhnya beberapa kumpulan Dikir Barat di tanahair dan telah menjalani beberapa proses perubahan dan pembaharuan. Dikir Barat bukan sahaja sebagai arena hiburan tetapi ianya juga mampu menyampaikan "mesej" Kerajaan kepada rakyat dan cara pemikiran masyarakat.
ASSALAMUALAIKUM!!!!

Selamat datang ke blog kami yang tak seberapa..semoga anda mendapat banyak manfaat...

Dikir barat ialah satu persembahan yang dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.